Sunday, March 20, 2011

Isu: Teknologi dan Pendidikan Kemasyarakatan

Sikap individualistik, materialistik dan berbudaya kapitalis (sosio-ekonomi yang merujuk kepada kekayaan) sering dikaitkan dengan kesan tersebarnya penggunaan teknologi dalam kalangan masyarakat.

Entah di mana silapnya sehinggakan ramai anak-anak muda sukar untuk turut serta menyumbangkan tenaga dan idea dalam aktiviti kemasyarakatan. Mereka lebih gemar menghabiskan masa bersendiri menghadap komputer sehingga tidak mengendahkan persekitaran jiran tetangga.

Benjamin Olken (2006) melaporkan bahawa pengaruh teknologi seperti televisyen dan video game menyebabkan penurunan kadar penyertaan golongan muda dalam aktiviti komuniti. Oleh itu, tidak hairanlah bahawasanya program masyarakat seperti bergotong-royong, ceramah, kenduri-kendara apatah lagi majlis agama begitu sukar untuk kita temui golongan ini.

Tambahan lagi, Marshall Mcluhan (Teori Teknologi Determinisme) menyatakan pandangan bahawa masyarakat kini adalah masyarakat Zaman Elektronik. Kewujudan teknologi satelit dan internet menyebabkan generasi muda menjadikan dunia maya 100% sebagai penghubung antara satu sama lain. Kesannya, generasi sekarang kerap berhubung dengan mesin seperti handphone, e-mail dan facebook. Hilanglah soft skill dalam penginteraksian sesama manusia secara realiti.

Menyelidiki mengapa hal ini terjadi, saya tertarik dengan definisi Manuel Castells yang mengatakan bahawa homo habilis (manusia berketrampilan) akan menggunakan ilmu pengetahuan untuk menunjukkan kemampuan membuat pembaharuan dan alat-alat canggih.

Maka setiap manusia yang inginkan kemajuan dan kekuasaan akan mula merekacipta pelbagai alatan baru yang lebih canggih. Secara tidak sedar timbul isu persaingan dan saling menindas yang akhirnya menenggelamkan sifat kemanusiaan sejagat. Apa yang dikatakan sebagai memberi kemudahan dan kesenangan kepada aktiviti manusia hanya sebagai argumen pendokumentasian hitam putih semata-mata.

Isu yang lebih besar, budaya berkapitalis yang ingin memegang tampuk ekonomi dunia telah menggunakan teknologi sebagai alat peperangan. Kita lihat bahawa kuasa teknologi enjin, teknologi elektrik dan teknologi nuklear amat memerlukan sumber terhad seperti minyak asli, air bersih dan sebagainya. Maka berlaku perebutan dan memonopoli persekitaran yang memungkinkan peperangan.

Oleh itu, pendidikan kemasyarakatan perlu diberi perhatian serius disamping usaha meningkatkan pelbagai kefungsian sesuatu teknologi. Contoh usaha yang boleh dilakukan adalah dalam penggunaan teknologi komunikasi. Setiap laman sosial perlu membuat sudut ilmu dan kempen disamping penganjuran program kemasyarakatan.

Harapannya agar lahirnya generasi yang tidak hanya celik teknologi tetapi juga mempunyai sahsiah terpuji.

17 comments:

  1. salam...

    Teknologi internet adalah merupakan gabungan antara teknologi komputer dan komunikasi. Teknologi ini berkembang dengan pesat dan memberikan kesan yang amat besar dalam sistem pendidikan di seluruh dunia terutamanya di Malaysia. Kemudahan yang disediakan khususnya laman web, mel elektronik, forum perbincangan dalam talian semakin rancak digunakan kini sebagai medium perkongsian, penyebaran maklumat serta saluran komunikasi utama.
    Teknologi multimedia menerusi laman web dan penciptaan blog sendiri adalah yang paling hangat serta mendapat perhatian ramai. Kini, kaedah pengajaran dan pembelajaran juga semakin maju dan berubah setelah adanya medium teknologi multimedia ini di sekolah. Di setiap sekolah mempunyai makmal komputer sendiri yang membolehkan pelajar menggunakan bahan yang disediakan seperti komputer, LCD dan sebagainya dalam prose pembelajaran dan memudahkan pelajar mengakses internet. Sehubungan dengan itu, penggunaan media juga dapat membantu pelajar dan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara contoh media ialah CD-ROM, cakera padat, VCD, mikrofon, komputer, papan putih, nota dan sebagainya.

    Kajian mendapati bahawa media pengajaran ini berfaedah kerana dapat meningkatkan kefahaman serta kemahiran pelajar setelah input diperolehi. Pelajar akan cepat memahami akan maklmumat yang ingin disampaikan oleh guru melalui medium media pengajaran. Bentuk dan kaedah yang digunakan adalah menarik serta mudah difahami telah memudahkan guru menyampaikan maklumat dan pelajar akan mudah menerima serta memahami maklumat yang ingin disampaikan.

    Pembelajaran melalui teknologi multimedia mempunyai banyak kelebihannaya. Antara seperti :

    • pelajar boleh mencapai capaian bahan maklumat walau di mana jua mereka berada
    • bahan sumber maklumat boleh diperolehi daripada sumber tambahan di seluruh dunia
    • pengurusan dan pengemaskinian bahan pembelajaran menjadi lebih mudah dan cepat
    • pelbagai bentuk saluran komunikasi boleh disediakan bagi kegunaan pelajar dan pendidik
    Kepelbagaian penggunaan media pengajaran yang merangkumi ICT ini dapat menghasilkan perubahan dan proses pengajaran dan pembelajaran seperti pelajar dapat memperohi pengetahuan dan kemahiran. Sehubungan dengan itu, pelajar akan memperolehi pengalaman yang bermakna dan menarik minat mereka untuk meneruskan pembelajaran. Selain itu, pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi.

    Terdapat pelbagai faktor perlunya teknologi multimedia diwujudkan bersama-sama internet. Antaranya ialah :

    a) meningkatkan minat para pelajar dalam mencari bahan serta maklumat yang menyeronokkan dan menghiburkan. Penggunaan elemen-elemen multimedia dalam proses P&P dapat menarik minat pelajar agar tidak bosan dan dapat memberikan perhatian sepenuhnya ketika proses P&P berlangsung.

    b) mengurangkan masa bagi menguasai aplikasi yang digunakan dengan mudah dapat menjimatkan masa. pelajar dapat menggunakan medium ini untuk mempersembahkan proses ujikaji yang dapat digunakan dalam pendidikan.

    c) meningkatkan pemahaman dan pengekalan informasi dalam ingatan. Penggunaan media yang menarik membolehkan seseorang pelajar memahami sesuatu maklumat dengan lebih pantas dan seterusnya dapat menyimpan informasi yang diterima dalam ingatan jangka panjang. Persembahan melalui video grafik, animasi, power point dapat meningkatkan daya ingatan seseorang terutama pelajar.

    Oleh itu, medium multimedia ini adalah terbaik dalam proses pendidikan untuk menyampaikan maklumat. Guru perlu lebih arif dalam penggunaan bahan-bahan yang disediakan bagi meningkatkan pemahaman pelajar serta minat mereka tentang teknologi maklumat.

    FATIN FARHANA BINTI ZAKARIA
    A127817
    FSSK/2
    ISNIN 8-10 MALAM,MAKMAL KOMPUTER DEWAN BUDIMAN

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,

    Setiap sesuatu benda itu pasti akan datang dengan kebaikan serta keburukannya. Setelah membaca isu saudari, saya amat bersetuju dengan pernyataan bahawa penggunaan teknologi secara berlebihan sememangnya menjarakkan lagi jurang antara seseorang itu dengan masyarakat. Ini bergantung pada individu itu sendiri untuk menilai sejauh manakah pentingnya teknologi internet kepada mereka sehingga sanggup mengenepikan masyarakat sekeliling mereka terutamanya keluarga serta sahabat handai. Mungkin juga mereka merasakan adalah lebih mudah, selesa dan senang dengan hanya menghadap laptop atau komputer mereka dari keluar bersosial dengan masyarakat. Mereka juga mungkin beranggapan bahawa dengan menggunakan internet seperti "chatting", facebook dan lain lain laman sosial adalah cara yang paling mudah untuk bersosial walhal tanggapan itu adalah salah sama sekali.

    NURMARIAM AISYAH BINTI HASHIM
    A130905
    PENGAJIAN BAHASA INGGERIS, FSSK
    TAHUN 2 SEM 2, SESI 2010/2011
    Tutorial Selasa, 8.00-10.00 malam, Makmal 3 Fakulti Pendidikan

    ReplyDelete
  3. Assalamualaiku,
    Isu saudari ini telah mencuit hati saya untuk menyuarakan pandangan saya.Saya juga bersetuju dengan hujah saudari bahawa teknologi telah menurunkan kadar keterlibatan golongan muda dalam program komuniti. Andainya soalan sebegini ditanya kepada masyarakat: "apakah kebaikan teknologi kepada manusia?"Sudah tentu ramai yang menjawab seperti berikut"teknologi dapat meningkatkan keyakinan diri yang mana individu akan lebih yakin dalam mengutarakan komen serta pendapat di laman sosial contohnya dalam blog dan facebook"Sekali imbas memang benar ia dapat menonjolkan diri individu dalam memberikan sebarang komen,namun jika diteliti semula keyakinan dalam mengutarakan pandangan tersebut hanyalah di alam maya tanpa bersua muka dengan mana-mana pihak.Situasi sebegini boleh memberikan kesan negatif yang mana seseorang individu akan mencari seribu satu alasan untuk mengelak bagi meluangkan masa dalam aktiviti masyarakat.Keterbiasaan dalam menyuarakan pendapat serta chatting di alam maya secara tidak langsung telah menurunkan keyakinan diri mereka untuk bersua muka dengan orang ramai.

    CITY ZULAIHA BINTI MOHAMAD ZAID
    A130775
    TAHUN 2 SEM 2
    FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN
    TUTORIAL SELASA 8-10 MALAM

    ReplyDelete
  4. Salam Hidayah,

    Tulisan saudari ini mengingatkan saya kepada kenyataan Carry P Snow tentang teknologi :

    “Technology... is a queer thing. It brings you great gifts with one hand, and it stabs you in the back with the other.”

    Kita terlalu asyik dengan kebaikan teknologi, dan mengagung-agungkan teknologi sehingga terlupa akan kesan negatif yang ada di sebaliknya.

    Sistem sosial masyarakat dunia dilihat semakin kronik apabila manusia kini lebih gemar 'berjumpa' di atas talian, berbanding berjumpa di alam realiti. Kita semakin jarang berkunjung ke rumah orang lain, kerana merasakan lebih mudah untuk berjumpa (atau ber-chatting dan bertanya khabar) di Facebook.

    Jika hal ini tidak dibendung, dikhuatiri generasi muda langsung lupa akan perkataan "ziarah-menziarahi".

    Amalan menziarahi inilah sebenarnya penguat jalinan ukhuwah sesama masyarakat. Alat teknologi hanyalah wahana-nya sahaja.

    Sekadar pandangan..

    MASTURA BINTI NASRUN SANI
    A127641
    FSSK/2
    Semester 2 Sesi 2010/2011

    ReplyDelete
  5. Masyarakat pada hari ini bukan lagi masyarakat yang boleh diketegorikan buta IT kerana boleh dikatakan majoriti masyarakat di negara ini telah mengetahui tentang pelbagai teknolgi. Namun,terdapat juga segelintir yang kurang mendapat pendedahan yang mencukupi tentang ilmu berkaitaan teknolgi. Oleh itu, usaha menyeluruh amat diperlukan bagi menjadikan rakyat Malaysia secara keseluruhannya menguasai ilmu berkaitan teknologi. Secara dasarnya,usaha ini perlu dipupuk sejak dibangku sekolah lagi dan bidang pendidikan memainkan peranan penting dalam mengembangkan lagi ilmu teknologi kepada masyarakat di negara ini.

    MOHD IZZAT AZREN BIN MOHD AZMAN (A131055)
    PROGRAM PEMBANGUNAN MANUSIA,
    TAHUN 2,SEMESTER 2 SESI 2010/2011
    FSSK.

    ReplyDelete
  6. Salam..

    Pandangan saya terhadap penggunaan teknologi dan pendidikan masyarakat sememabgnya telah menjadikan masyarakat kita bersikap individualistik, materialistik dan penindasan berleluasa.

    Masyarakat sebenarnya lupa dengan alat-alat teknologi yang dicipta manusia ini mempunyai kelemahan berbanding dengan ciptaan Allah yang lebih sempurna.

    Masyarakat secara realitinya tidak boleh bergantung sepenuhnya dengan teknologi kerana teknologi yang dicipta mempunyai had penggunaannya. Sebagai contoh, satu mesin yang digunakan untuk menghasilkan padi telah rosak, manusia tidak dapat memproses padi melainkan dengan menggunakan tenaga manusia yang hanya memerlukan kos perkhidmatan yang lebih murah berbanding dengan terpaksa membetulkan atau membeli mesin baru yang jauh lebih mahal.

    Jadi masyarakat harus ingat,hidup kita semakin hari semakin hilang nilai kemasyarakatan kerana terlalu bergantung kepada teknologi. Rugi rasanya jika kita tidak mengamalkan sikap kejiranan, tolong menolog, menghormati hak orang lain.Jadi apa yang kita mahu wariskan kepada generasi kita.

    Kemajuan masyarakat yang hanya mementingkan kemodenan dalam kehidupan tidak akan memberi apa-apa makna jika tidak mengimbanginya dengan nilai dan sikap yang baik dalam diri.

    sekian..

    NOR NAJEHA BINTI MOHD BAKERI
    A129848
    PEMBANGUNAN MANUSIA, FSSK
    TAHUN2 SEM 2 SESI 2010,2011
    TUTORIAL 8-9 MLM, DEWAN BUDIMAN.

    ReplyDelete
  7. Kemiskinan merupakan masalah yang serius terutama dalam kalangan isi rumah
    Melayu di kawasan luar bandar. Masalah ini dipengaruhi oleh tahap pendidikan
    sesebuah keluarga. Kajian dijalankan bagi menilai tahap kemiskinan isi rumah Melayu
    luar bandar, tahap pencapaian pendidikan ketua isi rumah, kesedaran ketua isi rumah
    tentang kepentingan pendidikan dan mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh ketua
    isi rumah Melayu miskin luar bandar dalam mendapatkan pendidikan. Selain itu, kajian
    juga turut melihat prestasi pendidikan anak-anak ketua isi rumah miskin. Gabungan
    kaedah kuantitatif dan kualitatif digunakan untuk mengumpulkan data. Soal selidik
    terhadap 230 orang responden telah dijalankan. Hasil kajian mendapati, masyarakat
    Melayu luar bandar hidup dalam keadaan kemiskinan yang serius. Tahap pendidikan
    keluarga miskin yang rendah turut memberi kesan kepada anak-anak dalam
    mendapatkan pendidikan yang sempurna. Walau bagaimanapun, majoriti daripada
    keseluruhan ketua isi rumah Melayu di kawasan luar bandar ini sedar tentang
    kepentingan pendidikan untuk masa depan anak-anak mereka. Pelbagai cara seperti
    mendapatkan bantuan dari ahli keluarga terdekat atau menghantar ke kelas tuisyen
    berbayar adalah inisiatif yang diambil dalam menangani masalah memberikan
    pendidikan kepada anak-anak. Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan
    ketidakupayaan individu mendapat pendidikan yang sempurna menyebabkan mereka
    terus terperangkap dalam kemiskinan. Oleh itu, cadangan seperti menekankan aspek
    pendidikan sejak dari awal serta memberi peluang latihan dan kemahiran dalam
    pelbagai bidang kepada masyarakat Melayu di luar bandar mampu untuk
    mengeluarkan golongan ini daripada belenggu kemiskinan.

    NUR RADIA BINTI HARUN
    A128048
    FSSK/2
    PEMBANGUNAN MANUSIA

    ReplyDelete
  8. Salam..
    pendidikan kemasyarakatan perlu diberi perhatian serius disamping usaha meningkatkan pelbagai kefungsian sesuatu teknologi. Contoh usaha yang boleh dilakukan adalah dalam penggunaan teknologi komunikasi. Setiap laman sosial perlu membuat sudut ilmu dan kempen disamping penganjuran program kemasyarakatan.
    Harapannya agar lahirnya generasi yang tidak hanya celik teknologi tetapi juga mempunyai sahsiah terpuji.

    SITI NURULHUDA BINTI SHEH ANUAR
    A127887
    FSSK/2
    PEMBANGUNAN MANUSIA

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum Hidayah,
    Saya amat tertarik dengan kupasan mengenai Isu teknologi dan Pendidikan Kemasyarakatan ini. Salah satu faktor terjadinya perkara ini adalah disebabkan ketagihan mereka terhadap penggunaan teknologi. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti anak-anak mereka supaya melibatkan diri dengan jiran tetangga seperti menghadiri majlis ilmu di masjid, aktiviti gotong royong, menziarahi jiran tetangga, sanak saudara dan sebagainya. Bukan hanya menghabiskan masa dengan ‘menghadap’ komputer, televisyen, video game dan lain-lain. Seharusnya, ibu bapa memainkan peranan dalam membuat pemantauan bagi anak-anak muda terutamanya remaja pada masa generasi ‘Y’ ini. Manakala bagi para pelajar IPT pula, sewajarnya mereka dapat membahagikan masa dengan penggunaan teknologi ini dan memandang serius dalam kemahiran ‘soft skill’ ini demi kesenagan di alam pekerjaan nanti.
    SAKINAH BINTI RAMLI
    A130757
    TAHUN 2(SEM 2 2010/2011)
    PSIKOLOGI,FSSK
    SELASA 8-10 MALAM
    MAKMAL 3

    ReplyDelete
  10. Kajian yang telah dibuat memang menarik. Mungkin dari segi penggunaan internet, ianya susah untuk dikawal kerana kerajaan tidak boleh hendak tetapkan bagaimana internet harus digunakan.
    Tetapi dalam teknologi siaraya seperti television (live broadcast etc) rancangan berunsur pendidikan sebenarnya adalah sangat banyak. Ia juga adalah satu medium yang mudah untuk digunakan dalam pembelajaran secara tidak langsung.

    NUR AKMAL BINTI MOHAMED ROZALI
    A126692
    FST/2 PROGRAM GENETIK (PPBsBt)

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum,
    Saya sangat bersetuju dengan pendapat saudari bahawa anak-anak muda kini sukar untuk turut serta menyumbangkan tenaga dan idea dalam aktiviti kemasyarakatan. Mereka lebih gemar menghabiskan masa bersendiri menghadap komputer sehingga tidak mengendahkan persekitaran tetangga mereka. Ini tidak seharusnya terjadi kerana interaksi sesama manusia menjadikan seseorang itu mempunyai jati diri yang teguh sebagai insan dan kemahiran komunikasi penting untuk mewujudkan kerjasama bagi mencapai kehendak tugas. Bagi remaja dan anak-anak kini, berhubung secara maya sahaja sudah memadai daripada mengikuti sebarang aktiviti sosial. Dengan ini, kemahiran generik seseorang pelajar itu akan jatuh merudum. Kemahiran generik amatlah dititikberatkan kepada para graduan memandangkan ianya adalah medium penting bagi membekalkan sumber tenaga manusia yang seimbang dalam pembentukan budaya bangsa. Pelaksanaan kemahiran generik selari dengan pembangunan sahsiah untuk melahirkan bakal pekerja yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani selain berketrampilan. Ramuan ini merupakan formula penting dalam era pembangunan negara yang pesat membangun bagi menghadapi persaingan global pada masa kini.

    NORSYAZANA BINTI ZULKIFLI
    A125102
    TAHUN 3 (SEM 2 2010/2011)
    FAKULTI SAINS & TEKNOLOGI
    SELASA, 8-10 PM, MAKMAL 3 F.PENDIDIKAN UKM
    Isu: Laman Sosial dan Pendidikan

    ReplyDelete
  12. perkembangan teknologi yang berlaku kini kebanyakkannya mengundang kepada beberapa permasalahan yang sedang berlaku di sekeliling kita pada pada hari ini. isu diatas merupakan salah satu permasalahan yang berlaku disebabkan tercetusnya perkemabangan teknologi yang mengakibatkan kurangnya penglibatan individu dalam aktiviti kemasyarakatan. hal ini disebabkan penggunaan teknologi tanpa kawalan dari pihak tertentu seperti ibu bapa dan tenaga pengajar serta teknologi yang dimiliki adalah lebih seronok untuk dimainkan berbanding dengan permainan diluar. permasalahan sebegini perlu dikaji dengan segera agar tidak merebak dengan lebih meluas. antara langkah yang boleh dilakukan ialah dengan melakukan kempen kesedaran melalui teknlogi seperti televisyen dan juga rangkaian internet akan kepentingan dalam menyertai aktiviti kemasyarakatan. selain itu, kawalan dari pihak ibu bapa dan tenaga pengajar juga perlu bagi mengelakkan individu tertentu lalai dalam menggunakan teknologi seperti permainan video.

    MOHD FAIZAL BIN ISMAIL
    A128748
    MENTION/FSSK/2
    SEMESTER 2/2010/2011

    ReplyDelete
  13. salam hidayah,

    Setiap individu dalam masyarakat merupakan potensi yang harus dikemabngkan untuk mendukung dan melancarkan kegiatan pembangunan dalam masyarkat tersebut. manusia sebagai individu, sebagaimana kudratnya memiliki sifat baik mahupun buruk. Sifat-sifat kurang baik inilah perlu dibina dan diubah sehingga melahirkan sifat-sifat yang baik lalu dibina dan dikembangkan. Proses perubahan dan pembinaan tersebut boleh dilakukan melalui proses pendidikan masyarakat.

    Kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi telah mengakibatkan munculnya perubahan dalam masyarakat. Semakin maju perkembangan dalam masyarakat maka semakin banyak pula keperluan yang harus dipenuhi. Masyarakat moden kini dalam lingkungan kebudayaan dengan perkembangan kemajuan teknologi untuk menghadapi keadaan sekitarnya.

    Tanpa disedari, masyarakat moden kini semakin tergantung pada alat dan teknologi yang dicipta untuk menguasai dunia sekitarnya. Mereka semakin hilang sifat sosialisasi yang baik dengan masyarakat. Mereka terasing secara kehidupan sosial yang disebabkan pertumbuhan urbanisme dan melemahkan ikatan kekeluargaan dan semangat kejiranan.

    Oleh itu saya bersetuju dengan pendapat hidayah bahawa pendidikan kemasyarakatan perlu diperkasakan seiring dengan kecanggihan teknologi bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja celik teknologi tetapi mempunyai sahsiah terpuji.

    NOOR ADIBA BTE ABDUL RASHID
    A127162
    PEMBANGUNAN MANUSIA, FSSK
    TAHUN 2, SEM 2, SESI 2010/2011
    MAKMAL 3, SELASA, 8-10PM

    ReplyDelete
  14. Saya setuju dengan apa yang disampaikan oleh saudari. Bagi mengelakkan perkara ini dari berterusan, pihak ibubapa perlu membimbing anak-anak sejak kecil lagi tentang etika penggunaan teknologi agar mereka tidak terlalu bergantung kepada teknologi sehingga mengabaikan interaksi sesama manusia. Anak-anak perlu diingatkan bahawa walau sejauhmanapun kemajuan sesebuah teknologi itu, manusia masih perlu berhubung dan memerlukan bantuan manusia dalam kehidupan seharian.

    MUHAMMAD ANUAR BIN MAULOD (A130797)
    PROGRAM KOMUNIKASI DAN PENGURUSAN MAKLUMAT
    FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN
    TAHUN 2 SEMESTER 2 SESI 2010/2011

    ReplyDelete
  15. Benar, seiring dengan kemajuan teknologi, generasi muda juga semakin kurang berinteraksi secara sosial dalam alam nyata. Mereka lebih gemar bersendirian di rumah dan berinteraksi secara sosial di alam maya.

    Perlunya ada keseimbangan dalam kedua-dua interaksi bagi menjamin generasi yang dinamik cara pemikirannya malah interaksi sosialnya sama ada secara maya mahupun nyata.

    MUHAMMAD NABIL BIN JAMIL
    A130944
    FSSK - KOMUNIKASI & PENGURUSAN MAKLUMAT
    TAHUN 2- SEM 2- SESI 2010/2011
    TUTORIAL: 8-10pm, SELASA, MAKMAL3 DEWAN BUDIMAN.

    ReplyDelete
  16. salam.
    teknologi dan pendidikan dalam masyarakat merupakan suatu elemen yang tidak dapat dipisahkan. dengan wujudnya teknologi dalam bidang pendidikan, ianya memudahkan sistem pendidikan dijalankan. banyak faedah yang dipeolehi ekoran wujudnya teknologi. sehubugan dengan itu, sebagai masyarakat kita seharusnya peka dan memandang serius hal ini untuk meningkatkan lagi mutu dan kualiti sistem pendidikan.

    ReplyDelete
  17. Salam Cik Hidayah,
    Perkembangan teknologi tidak dapat disangkal lagi telah menyebabkan perhubungan antara manusia terbatas. Dengan adanya teknologi yang serba canggih telah merubah kehidupan manusia di mana institusi kemasyarakatan kian terabai dan goyah.Oleh itu, pendidikan terhadap masyarakat harus difokuskan, di mana orang ramai harus sedar bahawa teknologi yang pesat bukanlah satu alasan untuk masing-masing mencari kekayaan dan saling tindas menindas, malah kesejahteraan hidup sejagat adalah lebih diutamakan.

    NOORHAFIZA HASNI AB MANAF (A127607)
    FSSK 2010/2011
    TAHUN 2/2 HUMAN DEVELOPMENT

    ReplyDelete